Muslimah, Dirimu terhias sebagai sebaik-baik ciptaan.. Maka jadikanlah dirimu nisa' yang boleh menjadi mujahidah, Jihad dijalan Allah...
Jadikanlah dirimu antara fatayat yang dijulang, Cantik dipandang,tetapi susah untuk dipegang.. Jadikanlah dirimu gadis manis yang tak pernah kalah dengan redup panahan mata si Adam.. Biar nafsumu hidup didalam tarbiyyah dijalan dakwah bertintakan darah dan air mata perjuangan.. Dititip atas warkah penuh kemuliaan dan... dikirimkan untuk mujahadah menuju Tuhan..
Kami sulit menahan pandangan mata kami
ketika melihat kalian,
apalagi jika kalian diamanahkan Allah
kecantikan dan postur yand ideal,
kami semakin susah untuk menolak agar tidak melihat kalian,
kerana itu lebarkanlah serta longgarkanlah pakaian kalian
dan tutupilah rambut hingga ke dada kalian dengan kerudung yang membentang.
Kami sulit menahan pendengaran kami
ketika berbicara dengan kalian,
apalagi jika kalian diamanahkan oleh Allah
suara yang merdu dengan irama yang mendayu
kerana itu tegaskanlah suara kalian
tatkala berbicara di berhadapan dengan kami
dan berbicaralah seperlunya sahaja.
Kami juga sulit menahan
bayangan-bayangan hati kalian,
ketika kalian dapat menjadi
tempat untuk dicurahkan segala isi hati kami,
waktu luang kami kadangkala akan sering terisi
oleh bayangan-bayangan kalian,
kerana itu janganlah kalian membiarkan kami
menjadi curahan hati bagi kalia
Kami tahu kami insan lemah
bila harus berhadapan dengan kalian,
kekerasan hati kami dengan mudah bisa luluh
hanya dengan senyum kalian,
hati kami akan bergetar
ketika mendengar dan melihat kalian menangis.
Sungguh ALLAH telah memberikan amanah terindah kepada kalian,
maka jagalah amanah itu
jangan sampai ALLAH murka dan memberikan keputusan-Nya.
Maha Besar dan Maha Suci Allah yang tahu
akan kelemahan hati kami ini,
hanya dengan ikatan yang suci dan yang diredhai-NYA,
kalian akan menjadi halal bagi kami.
"LAlu apa yang telah aku lakukan selama ini..YA Rabb, ampunilah daku.
Untuk setiap pandangan yang tak terjaga,
untuk iman yang tak dipelihara,
lisan yang merayu dan hati yang tak terhijab,
Ya Rabb, Engkaulah mengawasi kami setiap detik,
kerana kasih sayangMu ya Allah kepada kami,
Engkau perintahkanlah malaikan silih berganti
menemani kami siang dan malam
agar iman kami dapat dijaga...
Hari ini saya ingin mengajak saudara meneliti permasalahan ummat yang berlaku kini khususnya bagi golongan muda belia yang masih lagi baru dalam meniti hakikat kehidupan.
Permasalahan mengikut usia.
Apa yang dapat saya lihat, kebiasaannya masalah bagi golongan muda adalah mengenai hubungan atau percintaan. Masalah kepada mereka yang sudah berumah tangga lebih kepada permasalahan daipada aspek tanggungjawab kepada keluarga, kecurangan dan juga politik tempat kerja. Mereka yang berada dalam kategori kepimpinan pula permasalahannya lebih kepada korupsi dan penyelewengan, tidak kira sama ada daripada golongan ‘ikan bilis' hinggalah ke ‘jerung besar' dan daripada parti Islamik, komunis, sosialis mahupun sekularis.
Melihat kepada rancangan televisyen, dapatkah anda menilai betapa banyaknya filem, teledrama, telefilem bahkan apa rancangan sekalipun yang membincangkan mengenai cinta sesama manusia? Dalam ruangan akbhar pula, akhbar manakah yang tiada ruangan kaunseling cinta? Berapa banyaknya majalah yang menerbitkan tentang hubungan sesama manusia dalam erti kata cinta yang tidak sah? Cuba anda lihat pula pada diri anda sendiri atau setidak-tidaknya pada mereka yang sebaya dengan anda. Berapa ramaikah di antara mereka yang mempunyai kekasih pujaan hati? Jawapannya bukan sahaja ada, bahkan terlalu banyak dan barangkali sudah menjadi darah daging!
Bermula mungkin daripada persahabatan, lewat sistem pesanan ringkas (SMS) atau facebook. Setelah beberapa lama, pertemuan diatur. Kemudian, keluar berdua-duaan. Malu-malu. Segan-segan. Selepas itu, bermulalah adegan ayang-ayang, anje-anje. Mula berpegangan tangan. Perhubungan ini diisi dengan madah cinta yang sangat romantis.
Cinta suci...
Cinta agung...
Semoga perhubungan diberkati dan kekal...
Setelah itu, mungkin ada yang ke jinjang pelamin dan mendirikan rumah tangga dan mungkin pula daripada berpegangan tangan mula melangkah lebih maju dalam keadaan yang tidak baik.
Malaysia Boleh katakan...
Di akhir cerita lahirlah anak luar nikah. Paling tidak, kehormatan diri sudah tergadai atau mungkin hampir tergadai. Barangkali situasi ini tidak berlaku kepada semua pasangan tetapi hal ini berlaku hampir kepada semua.
Kita lihat pula pada sikap mereka yang berada dalam situasi ini. Sanggup lakukan apa sahaja, betul? Sanggup membelanjakan wang dan mengorbankan masa. Sanggup melayan dan menahan banyak kerenah. Sanggup menyerahkan tubuh badan untuk dijadikan sebagai persembahan ‘cinta teragung'. Lebih dahsyat lagi ada yang sanggup menukar agama kerana sayangkan kekasih hati.
Lihat pula kepada perbualan harian mereka.
"Kenapa dia tak call aku hari ni?"
"Dia suka aku ke tak? Sayang aku ke tak?"
Kalau nak dengar dengan lebih lanjut, saya mencadangkan supaya dengan tak malunya sila duduk di sebelah mereka yang sedang berpacaran dan dengar perbualan mereka. Jika ingin jalan selamat supaya tidak dimaki, tonton sahaja TV3.
Sekarang harap anda mula melihat dengan jelas. Sejujurnya hal ini adalah masalah yang berlaku dalam golongan muda-mudi kita. Kita disibukkan oleh permasalahan sebegini remeh.
Cinta itu juga satu ciptaan. Bukan Pencipta. Cinta bukan Tuhan!
Bukankah cinta itu telah Allah ciptakan kepada manusia sebagaimana Dia menciptakan pancaindera manusia dan akal manusia. Jadi boleh sahaja kita katakan bahawa cinta itu cuma satu jalan daripada jalan-jalan yang telah Allah kurniakan kepada kita untuk mencari redaNya. Sayang... Kita menjadikan jalan itu sebagai matlamat sedangkan matlamat sebenarnya sudah hilang ke mana. Jadinya, secara tidak sedar kita telah terlampau mengagungkan kalimah cinta dan cinta itu sendiri.
JATUH CINTA atau JATUH NAFSU?
Bukankah sudah jelas dalam al-Quran dinyatakan bahawa syaitan akan menampakkan sesuatu yang buruk itu sebagai sesuatu yang baik pada pandangan kita?
Berpegangan tangan. Bercumbu mesra. Peluk-memeluk. Tangan menjalar merata diiringi kalimah-kalimah yang manis puji-memuji. Kadang-kadang siap berdoa supaya kasih akan terus berkekalan. Poorah! Bila sudah perut membesar, barulah tersedar dan tersentak. Bila keluarga si perempuan bawa "abang-abang besar" suruh bertanggungjawab barulah rasa kecut dan takut.
Haq dan batil tidak boleh bercampur. Islam itu lahir daripada keruntuhan jahiliah. Kita ini terbalik pula. Islam itu jadinya pada kita bercampur dengan jahiliah. Maka patutkah Allah reda dengan tindakan kita? Sepatutnya kita melihat melalui kaca mata al-Quran yang sudah terang haq dan batilnya. Bagaimana indah sekalipun jika yang batil itu dicantikkan oleh syaitan, kita tetap akan sedar betapa buruknya apa yang kita lakukan, betapa jijiknya dan kotornya dosa yang kita lakukan itu.
Berhenti dan Periksa diri Anda.
Kita bukanlah manusia yang sempurna daripada segala salah dan silap. Kita seharusnya sedar jika telah berbuat kesalahan dan melakukan perubahan. Itulah yang membezakan Adam dan Iblis. Kedua-duanya membuat kesalahan tetapi Adam bertaubat sedangkan Iblis telah bersumpah dengan angkuh dan sombongnya untuk menyesatkan anak cucu Adam sampai hari perhitungan. Berhenti dan periksa diri kita, muhasabah kembali tiap perlakuan kita. Semoga apa yang tertulis ini mampu memberi sedikit kesedaran kepada saya dan anda. Wallahua'alam.
" Kenapa ni? Monyok je ni? Sakit ke? " Nurul yang baru balik daripada 'tutorial' bertanya kepada teman sebiliknya.
" Nurul, sampai hati Zack buat begini pada aku. " Soal Ain sambil menangis teresak-esak.
" Kenapa? " Nurul bertanya kembali, agak cemas dengan Ain yang semakin kuat esaknya.
" Kami...kami....dah putus. " raung Ain.
Cinta adalah salah satu kurniaan Allah kepada manusia. Ruang lingkup cinta terlalu besar sebenarnya namun manusia yang sering mengecilkannya. Cinta makhluk kepada Yang Maha Esa ialah cinta yang paling agung di antara segala cinta. Kerana itulah para syuhada' menentang musuh dengan penuh keberanian tanpa bimbang terkorban dalam perjuangan.
Cinta Rasulullah s.a.w kepada umatnya dapat dilihat dengan jelas sewaktu peristiwa baginda dibaling batu oleh orang-orang Taif. Sewaktu Malaikat Jibril bertanya kepada baginda sekiranya baginda menginginkan Allah menurunkan bala kepada penduduk Taif, Rasulullah menyatakan bahawa mereka belum mengetahui kebenaran malah baginda turut mendoakan agar hati mereka terbuka untuk Islam.
Begitu juga cinta para sahabat yang amat mendalam kepada Rasulullah s.a.w sehingga para sahabat sanggup berada di samping Rasulullah walaupun nyawa mereka terancam.
Di dalam hubungan manusia sesama manusia, cinta memainkan peranan penting. Cinta seorang ibu kepada anaknya membawa anaknya ke syurga dan cinta seorang ayah pula menyebabkannya sanggup berkorban demi kebahagiaan ahli keluarganya. Cinta di antara suami dan isteri pula jelas tergambar jelas dalam Surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud ;
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
Namun kini, yang sering terjadi ialah hubungan cinta teruna dan dara di luar lingkungan perkahwinan. Justeru itu, kemungkinan besar terjadilah perkara yang mengaibkan, kes buang anak yang begitu heboh diperkatakan di Malaysia umpamanya adalah contoh cinta terlarang yang melanggar hukum yang telah Allah tetapkan. Di alam menuju kedewasaan meminati dalam kalangan insan yang berlawanan jenis adalah satu lumrah.
Kisah cinta Nabi Allah Yusuf a.s dan Zulaikha. Mungkin ramai di antara kita yang mengetahui kisah ketampanan Nabi Yusuf sehinggakan Zulaikha, ibu angkatnya sendiri jatuh cinta kepadanya. Nabi Yusuf disumbatkan ke dalam penjara setelah Al-Aziz, pembesar Mesir pada masa itu yang juga merupakan suami Zulaikha tidak tahu perkara yang patut dilaksanakannya setelah peristiwa Zulaikha mencuba menggoda Nabi Yusuf dan menarik baju yang dipakainya sehingga terkoyak.
Namun dengan izin Allah, seorang bayi yang kebetulan ada di situ berkata-kata dan membersihkan nama Nabi Yusuf yang suci. Selepas peristiwa itu, Zulaikha menjadi gila kerana tidak dapat menahan rasa cintanya pada Nabi Yusuf sehingga Al-Aziz terpaksa melepaskannya. Setelah 12 tahun berlalu, Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara dan akhirnya beliau diangkat menjadi raja.
Pada suatu hari, sewaktu Nabi Yusuf berjalan-jalan di pasar, beliau terjumpa seorang perempuan tua yang gila dan asyik menyebut-nyebut namanya. Rupa-rupanya perempuan itu ialah Zulaikha. Dengan izin Allah s.w.t, Zulaikha menjadi muda kembali hasil mukjizat Nabi Yusuf dan mereka berkahwin.
" Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan telah Aku cukupkan untuk kamu nikmatKu serta redha Islam sebagai agama kamu". (Surah al-Maidah:3)
Setelah peristiwa itu, Zulaikha menemui cinta yang lebih abadi. Zulaikha kini benar-benar bersyukur kerana Allah s.w.t yang Maha Pengasih dan Penyayang telah memberikan peluang kedua kepadanya.
Cinta Zulaikha kepada Nabi Yusuf telah luput, digantikan dengan cinta makhluk terhadap penciptaNya. Masanya dihabiskan dengan bermunajat kepada Allah hingga beliau tidak memperdulikan Nabi Yusuf sendiri yang sewaktu dulu digilainya. Mengikut ceritanya, Nabi Yusuf telah menarik baju Zulaikha yang asyik beribadat. Peristiwa itu bolehlah diumpamakan sebagai qisas kerana dahulu Zulaikha telah menarik baju Nabi Yusuf.
Nabi Yusuf kemudian memberitahu Zulaikha bahawa daripada mereka akan lahir nabi-nabi yang akan membawa kebenaran. Melihat kepada peristiwa ini, nyatalah cinta sesama makhluk tidak akan kekal, apatah lagi kalau cinta itu berlandaskan nafsu semata-mata.
Cinta Shah Jehan kepada Mumtaz Mahal terabadi bersama berdiri megahnya Taj Mahal, namun sedarkah kita bahawa pembinaan Taj Mahal telah menyebabkan tangan pengukir-pengukir yang handal dipotong semata-mata kerana Shah Jehan tidak mahu adanya bangunan lain di dunia ini yang dapat menandingi kecantikan Taj Mahal.
Kita haruslah sedar bahawa cinta sesama makhluk hanyalah sementara. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya kita tidak terbawa-bawa oleh arus cinta, bermain dengan ombak perasaan dan akhirnya karam sendiri apabila cinta yang diharapkan tidak kesampaian. " Perempuan yang suci ialah perempuan yang dijaga oleh Allah, tidak sedikit pun Allah membenarkan mana-mana lelaki menyentuh dirinya walaupun hatinya kerana Allah menyayanginya. Tetapi andai kita bergelumang dengan cinta lelaki, di mana Allah untuk menjaga kita? Allah seperti melepaskan kita kepada seorang manusia yang lebih banyak mengecewakan kita. "
" Jika Allah datangkan kesedaran dalam diri supaya meninggalkan cinta seorang lelaki, bermakna Allah mahu kita kembali dijagaNya. Mengapa masih ragu-ragu? " " Kekuatan usah ditunggu tetapi harus dicari. Hargailah di atas kesempatan yang Allah berikan. "
Umat mengaku beriman perlu bersabar atasi cabaran ditentukan dalam kehidupan.
CINTA adalah penawar. Barang siapa yang hatinya kosong tanpa cinta, nescaya pelbagai penyakit akan bersarang di dalamnya. Cinta adalah kehidupan, kerana hidup seseorang anak manusia bermula daripadanya.
Manusia memerlukan cinta untuk tetap bertahan. Manakala, jiwa yang kekeringan cinta bagaikan tercabut roh daripada jasadnya. Berjalan tanpa perasaan, berfikir tanpa keindahan, bosan dan hampa.
Dijadikan indah pada pandangan manusia rasa cinta yang boleh memuaskan nafsu dan syahwatnya. Cinta adalah fitrah yang dibekalkan untuk manusia.
Cinta perlu diatur dengan baik, bukan dibiarkan mengganas hingga menyebabkan lupa kepada hakikat kehidupan.
Apakah ubat bagi orang yang tertekan, putus asa dan rasa dirinya tidak berguna? Jika kita tersungkur angkara musibah, siapakah yang patut dicari?
Di manakah ketenangan diperoleh? Manusia amat memerlukan Penciptanya Yang Maha Mengetahui selok-belok dirinya. Jika dia sakit, ubatnya ada pada Allah Taala, yang dapat menurunkan setitis rahmat di hati yang tenat.
Mengapa hati rasa sempit, dada rasa sesak, segenap jasad tak mampu menahan beban berat jika rahmat Allah Taala itu lenyap?
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya Allah memiliki seratus rahmat, Dia menurunkan satu rahmat daripada-Nya untuk manusia, jin, serangga dan binatang.
Dengan satu rahmat itu mereka saling berkasih sayang.
Dengan satu rahmat itu binatang buas mengasihi anaknya.
Dia menangguhkan lagi kurniaan sembilan puluh sembilan rahmat, dengan itu Dia akan merahmati hamba-Nya pada hari kiamat.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Betapa berharganya nilai setitis rahmat. Keamanan dan kedamaian menjelma di serata dunia.
Bagaimanakah dalaman rumah kita? Apakah rahmat Allah turun ke atasnya? Rahmat yang mencelupkan dua jiwa suami dan isteri pasti akan melahirkan anak yang salih. Rahmat yang hidup di hati seorang ayah akan menjadikannya mampu mendidik ahli keluarga dengan iman. Rahmat yang menitis di jiwa seorang ibu akan menjadikannya rela mengorbankan jiwa raganya untuk kebahagiaan keluarga. Akhirnya kita semua perlu menyedari bahawa kebencian dan suasana huru-hara yang berlaku berpunca daripada jiwa orang yang kekeringan rahmat Allah Taala.
Mungkinkah kita mendapat rahmat Allah jika kita tidak berusaha mengenal-Nya? Tak kenal maka tak cinta. Suatu ungkapan yang mudah untuk difahami. Namun, amat berat diamalkan. Mengenali Allah sebagai Penguasa ke atas diri kita. Yang menggenggam ubun-ubun makhluk-Nya dengan mudah dan akan menyentapnya apabila Dia berkehendak. Mengenal Allah dengan hati dan akal. Meneliti dan mencari penyebab kenapa Dia Yang Maha Pencinta layak untuk dicintai?
Allah Taala yang mengatur hidup kita, melimpahi hari yang kita lalui dengan nikmat-Nya. Semuanya itu tidak mampu disenaraikan kerana terlalu berharga. Tidak sesiapapun mampu membeli kebahagiaan jika Allah tidak mahu mengurniakan untuknya. Bagaimana hendak membayar nikmat kesihatan jika Allah tidak sudi menyembuhkan? Mungkinkah cita-cita dan impian akan tergenggam apabila Dia Yang Maha Mencipta berkehendak lain daripada apa yang kita inginkan. Diri kita tak penting bagi-Nya, ada dan tiadanya kita tidak mengurangi kebesaran-Nya. Dialah Allah yang kita kenali melalui bekas-bekas nikmat-Nya yang ada pada diri kita.
Perkenalan ini membuahkan cinta yang amat mendalam dan begitu hebat menguasai hati kita, seperti firman-Nya bermaksud:
“Dan di antara manusia ada yang mengambil tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintai tandingan-tandingan Allah itu seperti mereka mencintai Allah, sedangkan orang yang beriman amat sangat kuat cintanya kepada Allah.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 165)
Jika cinta sudah dimiliki, sudah semestinya dia sanggup diuji. Dengan hati dan akal, kita belajar mengatasi ujian cinta Ilahi. Ia menjadi ketentuan yang wajib dijalani bagi hamba-Nya yang mengaku beriman, kerana mungkin cintanya itu sekadar berpura-pura.
Semakin berat ujian yang diterima maka semakin tinggi tahap kecintaannya kepada Allah. Sabda Baginda SAW bermaksud:
“Sesungguhnya Allah Taala apabila mencintai hamba-Nya maka Dia mengujinya.”
(Hadis riwayat al-Tirmizi)
Ibnu Al-Qayyim mengatakan:
“Tidaklah sekali-kali Allah Taala menguji hamba-Nya dengan godaan hawa nafsu dan kederhakaan, tiada lain ia bertujuan mengarahkannya supaya berjuang dan melawan, sehingga perjuangannya itu akan melahirkan cinta kepada Allah.”
Maka terjawablah persoalan kedudukan manusia yang mencintai Allah lebih hebat daripada kedudukan malaikat. Malaikat Allah tidak diuji seperti manusia diuji dalam membuktikan cintanya kepada Allah Taala.
Cinta kepada Allah Taala juga boleh dicari dalam ikatan ukhuwah sesama manusia. Seperti firman Allah Taala bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya maka kelak Allah Taala akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin.”
(Surah Al-Maidah, ayat 54)
Rasulullah SAW juga menyeru umatnya untuk saling mencintai dalam sabdanya bermaksud:
“Tidaklah sekali-kali dua orang lelaki saling mencintai kerana Allah, melainkan orang yang paling dicintai Allah itu adalah yang paling kuat kecintaannya kepada saudaranya.”
(Hadis riwayat al-Tabrani)
Sabda Baginda lagi bermaksud:
“Tidak beriman seseorang di antara kamu sehingga dia mencintai bagi saudaranya apa yang dia cintai bagi dirinya sendiri.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara perkara paling berharga dalam kehidupan ini adalah persahabatan yang ikhlas. Ia tidak mudah untuk dimiliki melainkan oleh mereka yang ikhlas mahu mewujudkannya. Jika Allah mencantumkan hati manusia tiada siapa boleh menghalangi mereka mengecapi nikmat persahabatan itu.
Antara akhlak persahabatan yang paling rendah ialah sedia memaafkan saudara kita, manakala yang tertinggi pula, menolong sepenuh hati jika dia memerlukan kita
Sahabat yang terbaik adalah mereka yang bersungguh-sungguh mengajak kita mengecapi kasih sayang hingga ke akhirat.
Sahabat di dunia dan akhirat menjadi slogan yang indah dan tak terlupa. Hanya dengan ikatan itu kita mampu mengecapi rahmat Allah bersama saudara seiman.